Pada 23
Oktober yang lalu, satu sesi pembelajaran makropengajaran telah dilaksanakan
dan dirakam dengan bantuan dari seorang rakan setugas saya. Rakaman ini
mengambil masa lebih kurang 30 minit mengikut Rancangan Pengajaran Harian (RPH)
yang telah dirancang sebelum ini. Dalam video ini terdapat 6 orang murid
pendidikan khas dan seorang guru iaitu saya sendiri. Sesi pengajaran dan
pembelajaran ini memfokus kepada matapelajaran Bahasa Melayu. Manakala tajuk
bagi proses pembelajaran ini adalah suku kata kv yang bertemakan haiwan liar. Kandungan kemahiran yang dimasukkan ialah membina dan
membaca suku kata dan suku kata ( mengeja perkataan ). Berdasarkan tajuk ini,
hasil pembelajaran yang akan dicapai ialah murid dapat mengeja dan membaca suku
kata dengan bimbingan guru. Bagi memastikan proses dapat dilaksanakan dengan
lebih berkesan, saya telah membina dan menggunakan bahan bantu mengajar (bbm)
seperti kad bergambar, kad perkataan serta video haiwan.
Video pengajaran ini mengandungi set
induksi, langkah satu, langkah dua dan penutup. Untuk set induksi, saya
menggunakan bahan bantu mengajar menggunakan multimedia iaitu video haiwan.
Melalui video haiwan tersebut, murid boleh menyanyi sambil mengenalpasti haiwan
yang terdapat dalam video. Untuk langkah satu, murid diperkenalkan oleh guru
dengan gambar haiwan liar seperti gajah, harimau dan zirafah. Kad bergambar
digunakan untuk memperkenalkan haiwan tersebut kepada murid. Dalam langkah ini
juga, murid mengajuk bunyi haiwan berdasarkan kad bergambar yang ditunjukkan
oleh guru. Untuk langkah dua, murid diperkenalkan oleh guru dengan kad
perkataan yang bersesuaian dengan kad bergambar yang telah ditunjukkan dalam
langkah satu. Guru akan mengeja setiap suku
kata dan murid akan mengulangi sambil melihat kad perkataan nama haiwan dengan bimbingan
guru. Untuk sesi penutup, guru memilih murid untuk melengkapkan perkataan di
hadapan, kemudian murid menulis jawapan di hadapan. Sekiranya murid dapat
mengeja suku kata dengan betul, guru akan memberi pujian dan menepuk tangan
untuk murid yang dapat menjawab dengan betul.
Setelah
melalui kesemua langkah tersebut, rakaman video ini dapat diselesaikan dengan
baik hasil kerjasama murid-murid khas ini. Dalam video ini, mengandungi banyak
pengajaran kepada diri saya sendiri sebagai seorang pendidik lebih-lebih lagi
bagi guru mengajar murid istimewa seperti murid berkeperluan khas ini.
Setelah
rakaman selesai dijalankan dengan baik dan lancar, saya berasa sangat berpuas
hati dengan hasil yang telah diperoleh dari rakaman video tersebut. Malah saya
berasa yakin bahawa video ini tidak mempunyai cacat celanya. Namun, setelah
menilai video ini secara berperingkat saya dapati kekuatan dan masih banyak
kelemahan yang perlu saya perbaiki. Antara kekuatan yang terdapat semasa sesi
pengajaran dan pembelajaran ini dilaksanakan, murid berminat untuk belajar
kerana mereka tertarik dengan rangsangan multimedia iaitu tayangan video haiwan
tersebut. Penggunaan bunyi dan gambar dalam multimedia mampu meningkatkan minat
dan tumpuan murid-murid. Secara tidak langsung, kefahaman murid juga dapat
ditingkatkan.
Kekuatan
yang kedua ialah penggunaan kad gambar. Kad gambar haiwan yang digunakan semasa
sesi pembelajaran ini menggunakan gambar yang menarik, tulisan yang besar serta
warna yang terang. Kepelbagaian penggunaan bahan bantu belajar dapat
meningkatkan keseronokan dan tumpuan mereka. Ini kerana, warna dan gambar yang
sesuai memainkan peranan yang penting bagi menarik minat murid untuk terus
mengikuti proses pembelajaran.
Kekuatan yang ketiga ialah peneguhan
positif yang diaplikasikan oleh guru kepada murid-murid contohnya pujian
seperti “baik”, “tahniah” dan perlakuan seperti menepuk tangan. Peneguhan
positif sesuai diaplikasikan oleh guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran
di mana murid akan merasa diri mereka dihargai dan secara tidak langsung
keyakinan murid dapat ditingkatkan.
Namun begitu, terdapat juga beberapa
kelemahan yang telah dikenalpasti oleh saya hasil perbincangan yang telah
dilakukan bersama rakan setugas. Kelemahan pertama ialah penglibatan murid
pasif. Semasa proses pengajaran dan pemebelajaran dilaksanakan, murid hanya
duduk di tempat masing-masing dan kurang bergerak. Oleh itu, untuk sesi
pengajaran dan pembelajaran akan datang, saya akan cuba merancang sesuatu
aktiviti yang dapat menggalakkan pergerakan murid seterusnya meningkatkan
penglibatan murid secara aktif semasa proses pengajaran dan pembelajaran
dilaksanakan oleh guru.
Kelemahan
kedua ialah pengurusan masa semasa pengajaran dan pembelajaran. Masa yang diambil oleh guru untuk proses
penyampaian maklumat adalah terhad. Walaupun mengikut Rancangan Pengajaran
Harian (RPH), masa yang diperlukan adalah selama 30 minit namun, semasa rakaman
dijalankan guru hanya melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran selama 20
minit sahaja. Oleh itu, pada masa akan datang saya akan mempelbagaikan lagi
aktiviti seperti bermain dalam satu sesi pembelajaran saya.
Hal ini
kerana dapat memastikan saya menggunakan masa yang diperlukan dengan sebaiknya
dan diurus kan dengan lebih sistematik mengikut Rancangan Pengajaran Harian
(RPH) yang telah dirancang sebelum ini.
Kelemahan yang ketiga ialah
penyediaan lembaran kerja. Dalam sesi makro ini, tiada lembaran kerja bertulis
secara individu. Bagi menguji kefahaman dan ingatan murid terhadap sesuatu
pembelajaran, satu instrumen perlu diberikan kepada mereka sama ada lisan
mahupun bertulis contohnya lembaran kerja berbentuk suai padanan. Penyediaan
lembaran kerja juga perlu menitikberatkan kepada keperluan, tahap penguasaan
dan pengetahuan murid.
Justeru itu, saya akan membuat
penambahbaikan pada masa yang akan datang bagi mengatasi semua kelemahan yang
telah dikenalpasti sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah
dijalankan sebelum ini. Saya percaya dan yakin dengan menggunakan kaedah
bermain sambil belajar dapat meningkatkan penglibatan murid secara aktif dalam
proses pembelajaran. Oleh itu, pada masa akan datang saya berharap agar penglibatan
murid dapat ditingkatkan dengan kaedah belajar sambil bermain seterusnya,
meningkatkan kefahaman dan tumpuan murid.
No comments:
Post a Comment