Kemahiran
mikropengajaran ialah kemahiran mengajar yang diintegrasi dan dilaksanakan
secara bersepadu dan harmoni bagi membantu pembelajaran berlaku secara
berkesan. Ini bermakna guru perlu mewujudkan suasana pembelajaran yang dapat
merangsangkan minat murid untuk terus mengikuti perjalanan proses pembelajaran
dari mula hingga akhir di samping sentiasa memikirkan kebajikan dan keperluan
murid. Sehubungan itu, guru harus mewujudkan aktiviti yang dapat mempengaruhi
keseluruhan diri murid iaitu dari segi intelek, emosi dan minat murid secara
berkesan.
Dalam
satu sesi pengajaran dan pembelajaran (pnp) yang menarik dan berkesan, guru boleh mengaplikasikan 10 kemahiran
mikropengajaran iaitu memulakan pengajaran, menyoal, menerang, memperkukuh,
mengilustrasi dengan contoh, membuat demonstrasi, mengendali perbincangan,
mengendali kerja amali, menutup pengajaran dan membuat refleksi. Kemahiran
mikropengajaran ini dapat membantu guru menentukan pendekatan, memilih kaedah
dan menetapkan teknik-teknik tertentu yang sesuai dengan perkembangan dan
kebolehan murid. Strategi yang dipilih itu, selain berpotensi merangsangkan
murid belajar secara aktif, ia juga harus mampu membantu menganalisis konsep
atau idea dan berupaya menarik hati murid serta dapat menghasilkan pembelajaran
yang bermakna.
Kemahiran menerang merupakan salah satu daripada komponen dalam kemahiran
mikropengajaran. Kemahiran menerang ialah satu kemahiran untuk menceritakan, menjelaskan,
menggambarkan, memindahkan sesuatu perkara yang diketahui kepada orang lain.
Kemahiran ini tidak berasaskan kepada sesuatu teori dan teknik yang tertentu,
sebaliknya bergantung kepada kebijaksanaan guru mengendalikannya dan mengenal
pasti sejauhmana pencapaian murid. Kemahiran ini digunakan di peringkat
perkembangan sama ada untuk menyampaikan maklumat, konsep atau isi kandungan
pelajaran kepada murid. Oleh itu, kemahiran menerang bertujuan untuk
menyampaikan maklumat kepada murid dengan cara yang berkesan, membina
pengetahuan dan kefahaman murid serta dapat mengikut arahan dengan jelas.
Objektif
penggunaan kemahiran menerang ialah guru dapat menyampaikan maklumat atau
menjelaskan isi pelajaran kepada murid dalam masa yang singkat. Kesannya, murid
dapat memahami konsep atau isi pelajaran dengan lebih cepat, mudah dan tepat.
Ia dapat memudahkan murid memahami konsep atau isi pelajaran dengan jelas serta
ia mampu menghuraikan sesuatu proses seperti langkah-langkah menjalankan
projek, ujikaji atau masalah. Malah, kemahiran menerang mampu menjelaskan
sebab-sebab berlakunya sesuatu peristiwa atau meramalkan kemungkinan berlakunya
peristiwa tertentu.
Kemahiran
menerang terbahagi kepada 3 jenis iaitu penaakulan, interpretatif dan
deskriptif. Menerang secara penaakulan ialah menggunakan proses logik untuk
menjawab soalan dan menstruktur semula konsep atau idea. Sebagai contoh, guru
menunjukkan gambar salji. Murid memberitahu guru bahawa gambar tersebut ialah
air salji. Guru bertanya di mana murid nampak air salji. Murid menjawab mereka
nampak di televisyen. Guru bertanya lagi, adakah kamu pernah pegang air salji.
Murid menjawab tidak pernah. Kemudian, guru menerangkan bahawa kita tidak pernah
memegang air salji kerana salji tidak terdapat di negara kita. Oleh itu, contoh
sumber mesti mencukupi supaya guru akan memberikan input dengan menyeluruh dan
disertakan bahan bukti kepada murid.
Manakala,
menerang secara interpretatif ialah menghuraikan maksud sesuatu istilah atau
penyataan, idea, konsep, prinsip, atau teori. Contohnya, guru menerangkan alat
yang tidak boleh digunakan untuk bersuci. Guru menunjukkan plastik dan
menerangkan kepada murid sebab plastik tidak boleh digunakan untuk bersuci
kerana permukaannya licin. Penerangan yang disampaikan oleh guru haruslah
berdasarkan pengetahuan sedia ada murid yang lepas supaya mereka dapat
mengikutinya dengan mudah dan bermakna
Menerang
secara deskriptif pula ialah menghuraikan proses, struktur, dan prosedur.
Sebagai contoh, guru menerangkan kepada murid bahawa kita boleh bersuci tanpa
menggunakan air. Oleh itu, guru tersebut menerangkan kepada murid mengenai
alat-alat yang boleh digunakan untuk bersuci iaitu daun-daun kering, tisu, batu
dan air mutlak. Batu yang boleh digunakan untuk bersuci mempunyai struktur atau
bentuk bersegi dan tidak berbentuk bulat. Penerangan ini membantu murid faham
dengan jelas sesuatu maksud, konsep, fakta, isi pelajaran dan sebagainya dengan
ringkas dan padat.
Dalam
kemahiran menerang, terdapat empat prinsip utama yang harus ditonjolkan oleh
guru. Pertama, gunakan kejelasan. Guru harus menumpukan kepada aspek yang
spesifik seperti gunakan contoh, ilustrasi dan media yang relevan dan menarik,
fokus semula dengan membuat ringkasan, gunakan bahasa mudah serta sesuai dengan
murid, elak kekaburan dan penggunaan ayat tidak relevan. Sebagai contoh, guru
menggunakan ilustrasi dengan menunjukkan kad bergambar pelbagai jenis air iaitu
air laut, air embun, air sungai, air hujan dan air salji. Penggunaan ilustrasi
kad bergambar dapat memberi penerangan yang sangat jelas kepada murid dalam
memahami isi pembelajaran tersebut. Melalui contoh-contoh, ilustrasi dan alat
bantu mengajar ia akan dapat membantu merangsang pelbagai jenis deria murid
serta memudahkan kefahaman dan memperkukuhkannya dalam ingatan mereka. Oleh
itu, contoh-contoh ilustrasi atau sumber pengajaran hendaklah ditentukan dan
disediakan terlebih dahulu oleh guru sebelum sesi pembelajaran dilaksanakan.
Kedua, gunakan
penegasan. Penggunaan variasi intonasi guru semasa di bilik darjah amat
penting. Hal ini dapat membezakan guru sedang marah, tegas dan bersikap lembut.
Oleh itu, guru harus menunjukkan beza penunjuk atau penyerlah pergerakan dan gerak
isyarat. Dalam video tersebut, variasi intonasi yang digunakan oleh guru
berjaya menunjukkan murid tekun dan dapat memberikan seratus peratus perhatian
terhadap sesi pembelajaran yang sedang dilaksanakan. Penegasan intonasi amat
penting dalam satu proses pembelajaran kerana guru dapat memastikan proses
pembelajaran berjalan dalam keadaan yang lancar dan kondusif.
Ketiga,
urutan atau kesinambungan. Urutan atau kesinambungan ialah menggunakan
pendekatan induktif atau deduktif. Melalui prinsip ini, guru juga boleh membantu
murid untuk mengingati sesuatu perkara (prompts). Oleh itu, guru harus menggunakan
variasi atau kata penghubung dalam penyampaian di samping pelbagaikan kelajuan
penyampaian. Keadaan ini dapat mengalakkan sesuatu proses pengajaran dan
pembelajaran menjadi kaku dan bosan. Kesannya, murid dapat menumpukan perhatian
terhadap aktiviti pengajaran guru semasa di dalam bilik darjah jika penerangan
yang diberikan menarik dan bermakna.
Keempat,
dapatkan maklum balas. Dalam proses mendapatkan maklum balas, berlakunya
interaksi dua hala antara guru dan murid. Guru mesti melibatkan murid dengan
melihat reaksi dan tingkah laku murid. Sekiranya murid sterkawal dan
menunjukkan perhatian kepada guru, ini menunjukkan murid seronok dan berminat
untuk mengikuti sesi pembelajaran. Malah, guru perlu mewujudkan peluang kepada
murid untuk menunjukkan kefahaman, minat dan sikap mereka terhadap proses
pembelajaran tersebut.
Untuk
menggunakan kemahiran menerang dengan berkesan, guru hendaklah memahami dan
mematuhi beberapa prinsip iaitug uru hendaklah merancang aktiviti pengajaran
dengan memilih cara dan bentuk penerangan yang sesuai. Masa untuk menggunakan kemahiran menerang
hendaklah singkat. Murid mudah bosan jika mereka disuruh duduk diam untuk
mendengar penerangan guru dalam tempoh masa yang lama tanpa sebarang aktiviti
lain. Untuk mengekalkan minat pelajar terhadap penerangan guru, kemahiran
variasi rangsangan hendaklah digunakan, terutama bagi penerangan yang
memerlukan masa yang melebihi satu minit. Oleh itu, dalam video ini guru
tersebut menerangkan sambil menggalakkan murid menulis isi penting di papan
putih di hadapan kelas. Selepas aktiviti perancangan, guru hendaklah
menggalakkan murid untuk bertanya kepada guru mengenai perkara yang kurang
difahami oleh mereka sepanjang proses pembelajaran dilaksanakan.
Impak
penggunaan kemahiran menerang dalam proses pengajaran dan pembelajaran (pnp)
ialah murid dapat memahami konsep fakta dan bahan pengajaran guru akan menjadi
jelas iaitu isi pelajaran dapat difahami dengan lebih cepat, mudah, tepat dan
bermakna. Murid juga dapat memahami sesuatu proses atau prosedur secara
terperinci dan teratur. Pelajar dapat menaakul sebab musabab berlakunya sesuatu
kejadian dengan lebih jelas. Malah murid dapat menumpukan perhatian terhadap
aktiviti pengajaran guru jika penerangannya menarik dan bermakna. Ini dapat
meneguhkan lagi pengajaran dan pembelajaran yang berlaku dalam bilik darjah.
Contoh- contoh ilustrasi dan bahan pelajaran yang digunakan bukan sahaja dapat
merangsangkan pelbagai deria pelajar, tetapi juga memudahkan kefahaman konsep
dengan tepat serta mengukuhkan apa yang diterangkan dalam ingatan mereka.
Penggunaan masa aktiviti pengajaran guru dapat dijimatkan kerana murid dapat
memahami dengan cepat dan ini boleh digunakan untuk menambahkan aktiviti
pembelajaran yang lain kepada murid.
No comments:
Post a Comment