Tuesday 27 November 2012

CONTOH REFLEKSI




Pada 23 Oktober yang lalu, satu sesi pembelajaran makropengajaran telah dilaksanakan dan dirakam dengan bantuan dari seorang rakan setugas saya. Rakaman ini mengambil masa lebih kurang 30 minit mengikut Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang telah dirancang sebelum ini. Dalam video ini terdapat 6 orang murid pendidikan khas dan seorang guru iaitu saya sendiri. Sesi pengajaran dan pembelajaran ini memfokus kepada matapelajaran Bahasa Melayu. Manakala tajuk bagi proses pembelajaran ini adalah suku kata kv yang bertemakan haiwan liar. Kandungan  kemahiran yang dimasukkan ialah membina dan membaca suku kata dan suku kata ( mengeja perkataan ). Berdasarkan tajuk ini, hasil pembelajaran yang akan dicapai ialah murid dapat mengeja dan membaca suku kata dengan bimbingan guru. Bagi memastikan proses dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, saya telah membina dan menggunakan bahan bantu mengajar (bbm) seperti kad bergambar, kad perkataan serta video haiwan.
            Video pengajaran ini mengandungi set induksi, langkah satu, langkah dua dan penutup. Untuk set induksi, saya menggunakan bahan bantu mengajar menggunakan multimedia iaitu video haiwan. Melalui video haiwan tersebut, murid boleh menyanyi sambil mengenalpasti haiwan yang terdapat dalam video. Untuk langkah satu, murid diperkenalkan oleh guru dengan gambar haiwan liar seperti gajah, harimau dan zirafah. Kad bergambar digunakan untuk memperkenalkan haiwan tersebut kepada murid. Dalam langkah ini juga, murid mengajuk bunyi haiwan berdasarkan kad bergambar yang ditunjukkan oleh guru. Untuk langkah dua, murid diperkenalkan oleh guru dengan kad perkataan yang bersesuaian dengan kad bergambar yang telah ditunjukkan dalam langkah satu. Guru akan mengeja setiap suku  kata dan murid akan mengulangi sambil melihat  kad perkataan nama haiwan dengan bimbingan guru. Untuk sesi penutup, guru memilih murid untuk melengkapkan perkataan di hadapan, kemudian murid menulis jawapan di hadapan. Sekiranya murid dapat mengeja suku kata dengan betul, guru akan memberi pujian dan menepuk tangan untuk murid yang dapat menjawab dengan betul.
Setelah melalui kesemua langkah tersebut, rakaman video ini dapat diselesaikan dengan baik hasil kerjasama murid-murid khas ini. Dalam video ini, mengandungi banyak pengajaran kepada diri saya sendiri sebagai seorang pendidik lebih-lebih lagi bagi guru mengajar murid istimewa seperti murid berkeperluan khas ini.
                                                                                                                                                 
Setelah rakaman selesai dijalankan dengan baik dan lancar, saya berasa sangat berpuas hati dengan hasil yang telah diperoleh dari rakaman video tersebut. Malah saya berasa yakin bahawa video ini tidak mempunyai cacat celanya. Namun, setelah menilai video ini secara berperingkat saya dapati kekuatan dan masih banyak kelemahan yang perlu saya perbaiki. Antara kekuatan yang terdapat semasa sesi pengajaran dan pembelajaran ini dilaksanakan, murid berminat untuk belajar kerana mereka tertarik dengan rangsangan multimedia iaitu tayangan video haiwan tersebut. Penggunaan bunyi dan gambar dalam multimedia mampu meningkatkan minat dan tumpuan murid-murid. Secara tidak langsung, kefahaman murid juga dapat ditingkatkan.
Kekuatan yang kedua ialah penggunaan kad gambar. Kad gambar haiwan yang digunakan semasa sesi pembelajaran ini menggunakan gambar yang menarik, tulisan yang besar serta warna yang terang. Kepelbagaian penggunaan bahan bantu belajar dapat meningkatkan keseronokan dan tumpuan mereka. Ini kerana, warna dan gambar yang sesuai memainkan peranan yang penting bagi menarik minat murid untuk terus mengikuti proses pembelajaran.
            Kekuatan yang ketiga ialah peneguhan positif yang diaplikasikan oleh guru kepada murid-murid contohnya pujian seperti “baik”, “tahniah” dan perlakuan seperti menepuk tangan. Peneguhan positif sesuai diaplikasikan oleh guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran di mana murid akan merasa diri mereka dihargai dan secara tidak langsung keyakinan murid dapat ditingkatkan.
            Namun begitu, terdapat juga beberapa kelemahan yang telah dikenalpasti oleh saya hasil perbincangan yang telah dilakukan bersama rakan setugas. Kelemahan pertama ialah penglibatan murid pasif. Semasa proses pengajaran dan pemebelajaran dilaksanakan, murid hanya duduk di tempat masing-masing dan kurang bergerak. Oleh itu, untuk sesi pengajaran dan pembelajaran akan datang, saya akan cuba merancang sesuatu aktiviti yang dapat menggalakkan pergerakan murid seterusnya meningkatkan penglibatan murid secara aktif semasa proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan oleh guru.
Kelemahan kedua ialah pengurusan masa semasa pengajaran dan pembelajaran.  Masa yang diambil oleh guru untuk proses penyampaian maklumat adalah terhad. Walaupun mengikut Rancangan Pengajaran Harian (RPH), masa yang diperlukan adalah selama 30 minit namun, semasa rakaman dijalankan guru hanya melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran selama 20 minit sahaja. Oleh itu, pada masa akan datang saya akan mempelbagaikan lagi aktiviti seperti bermain dalam satu sesi pembelajaran saya.
                                                                                                                                    
Hal ini kerana dapat memastikan saya menggunakan masa yang diperlukan dengan sebaiknya dan diurus kan dengan lebih sistematik mengikut Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang telah dirancang sebelum ini.
            Kelemahan yang ketiga ialah penyediaan lembaran kerja. Dalam sesi makro ini, tiada lembaran kerja bertulis secara individu. Bagi menguji kefahaman dan ingatan murid terhadap sesuatu pembelajaran, satu instrumen perlu diberikan kepada mereka sama ada lisan mahupun bertulis contohnya lembaran kerja berbentuk suai padanan. Penyediaan lembaran kerja juga perlu menitikberatkan kepada keperluan, tahap penguasaan dan pengetahuan murid.
            Justeru itu, saya akan membuat penambahbaikan pada masa yang akan datang bagi mengatasi semua kelemahan yang telah dikenalpasti sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan sebelum ini. Saya percaya dan yakin dengan menggunakan kaedah bermain sambil belajar dapat meningkatkan penglibatan murid secara aktif dalam proses pembelajaran. Oleh itu, pada masa akan datang saya berharap agar penglibatan murid dapat ditingkatkan dengan kaedah belajar sambil bermain seterusnya, meningkatkan kefahaman dan tumpuan murid.

No comments:

Post a Comment