Wednesday 14 November 2012

Peranan Pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Memartabatkan Bahasa Melayu



Perlembagaan Persekutuan di dalam Perkara 152 memperuntukkan kedudukan yang istimewa kepada bahasa Melayu. Di dalam Laporan Razak 1956 ada dinyatakan bahawa tujuan akhir dasar pendidikan negara adalah bagi menyatupadukan murid yang berlainan bangsa di bawah satu sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Malah dalam Laporan Rahman 1960 menyatakan penukaran kedudukan sekolah rendah kepada sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan adalah untuk mengukuhkan perpaduan di antara kaum di samping memantapkan lagi kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan.
Kemajuan pesat bahasa Melayu di dalam sistem pendidikan telah berlaku dengan penubuhan sekolah menengah berbahasa pengantar Melayu dan terlaksananya Dasar Pendidikan Negara yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di institusi-institusi pengajian tinggi (IPT).
Menurut pakar bahasa, Dr. Nik Safiah Karim, di dalam kertas kerja Pemerkasaan Bahasa Melayu di IPT pada Persidangan Kebangsaan Bahasa Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, menyatakan bahawa kejayaan bahasa Melayu itu dapat dilihat sebagai wahana ilmu pengetahuan melalui penggunaan bahasa tersebut dalam syarahan-syarahan perdana dan situasi-situasi rasmi.
Kata beliau, bahasa Melayu kini semacam menghadapi zaman kegelapan sementara, tetapi yakin bahawa bahasa Melayu akan dapat bangun kembali, mengambil tempatnya yang asal apabila mendapat sokongan dan dukungan terhadap pengguna bahasanya terutama dalam konteks penggunaan di IPT.
Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini telah mewajibkan kesemua 65 ribu orang pelajar yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) di Malaysia agar mengambil mata pelajaran bahasa Melayu. Kalangan pejuang bahasa menganggapnya sebagai langkah mendaulatkan semula kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pengajian tinggi negara. Ini juga diharap akan membolehkan mereka memahami budaya setempat dengan lebih baik dan sekaligus mengembang dan menambahkan lagi bilangan penutur bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

2 comments:

  1. Harap selepas ini lahir ramai ahli bahasa yang dapat menterjemah buku-buku istilah sains dalam bahasa Melayu untuk digunakan pelajar aliran sains

    ReplyDelete
  2. Bahasa Melayu itu indah dan mengagumkan.....

    ReplyDelete