Wednesday 14 November 2012

Kesalahan-kesalahan Umum Penggunaan Kata Dalam Media Massa



Isu kesalahan-kesalahan umum dalam penggunaan kata dalam media massa pada masa ini semakin membimbangkan. Menurut Presiden Persatuan Pendidik Bahasa Melayu (PPBMM), Prof Madya Dr Hashim Othman, penggunaan bahasa Melayu oleh media massa semakin merosot kualitinya. Pelbagai kesalahan bahasa yang  berterusan dikesan dalam pelbagai program televisyen dan radio khususnya stesen swasta sejak akhir-akhir ini.
Contoh kesalahan paling kerap ialah penggunaan kata ganti nama pembesar dan pemimpin negara yang disebut tanpa rasa sopan dan hormat.  Penggunaan kata ganti ‘kita orang’, ‘korang’ dan ‘diaorang’, yang merujuk kepada ganti nama ‘kami’, ‘kalian’ dan ‘mereka’, yang kini meluas diguna dalam drama terbitan stesen televisyen berbayar.
Kesalahan bahasa ini perlulah dibendung kerana pengaruh media massa terhadap penonton, pendengar dan pembaca khususnya kanak-kanak adalah sangat besar. Ini ditakuti akan membawa impak buruk terhadap perkembangan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Melayu yang tinggi berupaya menjadi contoh ikutan kepada pelajar dan masyarakat. Bahasa Melayu yang didaulatkan di segenap lapangan merupakan usaha murni yang bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kedudukan istimewa bahasa melayu sebagai bahasa Kebangsaan di dalam Perkara 152.

No comments:

Post a Comment