Tuesday 27 November 2012

Kepentingan Mikro Pengajaran



Kemahiran mikropengajaran ialah kemahiran mengajar yang diintegrasi dan dilaksanakan secara bersepadu dan harmoni bagi membantu pembelajaran berlaku secara berkesan. Ini bermakna guru perlu mewujudkan suasana pembelajaran yang dapat merangsangkan minat murid untuk terus mengikuti perjalanan proses pembelajaran dari mula hingga akhir di samping sentiasa memikirkan kebajikan dan keperluan murid. Sehubungan itu, guru harus mewujudkan aktiviti yang dapat mempengaruhi keseluruhan diri murid iaitu dari segi intelek, emosi dan minat murid secara berkesan.
Dalam satu sesi pengajaran dan pembelajaran (pnp) yang menarik dan berkesan,  guru boleh mengaplikasikan 10 kemahiran mikropengajaran iaitu memulakan pengajaran, menyoal, menerang, memperkukuh, mengilustrasi dengan contoh, membuat demonstrasi, mengendali perbincangan, mengendali kerja amali, menutup pengajaran dan membuat refleksi. Kemahiran mikropengajaran ini dapat membantu guru menentukan pendekatan, memilih kaedah dan menetapkan teknik-teknik tertentu yang sesuai dengan perkembangan dan kebolehan murid. Strategi yang dipilih itu, selain berpotensi merangsangkan murid belajar secara aktif, ia juga harus mampu membantu menganalisis konsep atau idea dan berupaya menarik hati murid serta dapat menghasilkan pembelajaran yang bermakna.
 Kemahiran menerang merupakan salah satu daripada komponen dalam kemahiran mikropengajaran. Kemahiran menerang ialah satu kemahiran untuk menceritakan, menjelaskan, menggambarkan, memindahkan sesuatu perkara yang diketahui kepada orang lain. Kemahiran ini tidak berasaskan kepada sesuatu teori dan teknik yang tertentu, sebaliknya bergantung kepada kebijaksanaan guru mengendalikannya dan mengenal pasti sejauhmana pencapaian murid. Kemahiran ini digunakan di peringkat perkembangan sama ada untuk menyampaikan maklumat, konsep atau isi kandungan pelajaran kepada murid. Oleh itu, kemahiran menerang bertujuan untuk menyampaikan maklumat kepada murid dengan cara yang berkesan, membina pengetahuan dan kefahaman murid serta dapat mengikut arahan dengan jelas.
Objektif penggunaan kemahiran menerang ialah guru dapat menyampaikan maklumat atau menjelaskan isi pelajaran kepada murid dalam masa yang singkat. Kesannya, murid dapat memahami konsep atau isi pelajaran dengan lebih cepat, mudah dan tepat. Ia dapat memudahkan murid memahami konsep atau isi pelajaran dengan jelas serta ia mampu menghuraikan sesuatu proses seperti langkah-langkah menjalankan projek, ujikaji atau masalah. Malah, kemahiran menerang mampu menjelaskan sebab-sebab berlakunya sesuatu peristiwa atau meramalkan kemungkinan berlakunya peristiwa tertentu.
Kemahiran menerang terbahagi kepada 3 jenis iaitu penaakulan, interpretatif dan deskriptif. Menerang secara penaakulan ialah menggunakan proses logik untuk menjawab soalan dan menstruktur semula konsep atau idea. Sebagai contoh, guru menunjukkan gambar salji. Murid memberitahu guru bahawa gambar tersebut ialah air salji. Guru bertanya di mana murid nampak air salji. Murid menjawab mereka nampak di televisyen. Guru bertanya lagi, adakah kamu pernah pegang air salji. Murid menjawab tidak pernah. Kemudian, guru menerangkan bahawa kita tidak pernah memegang air salji kerana salji tidak terdapat di negara kita. Oleh itu, contoh sumber mesti mencukupi supaya guru akan memberikan input dengan menyeluruh dan disertakan bahan bukti kepada murid.
Manakala, menerang secara interpretatif ialah menghuraikan maksud sesuatu istilah atau penyataan, idea, konsep, prinsip, atau teori. Contohnya, guru menerangkan alat yang tidak boleh digunakan untuk bersuci. Guru menunjukkan plastik dan menerangkan kepada murid sebab plastik tidak boleh digunakan untuk bersuci kerana permukaannya licin. Penerangan yang disampaikan oleh guru haruslah berdasarkan pengetahuan sedia ada murid yang lepas supaya mereka dapat mengikutinya dengan mudah dan bermakna
Menerang secara deskriptif pula ialah menghuraikan proses, struktur, dan prosedur. Sebagai contoh, guru menerangkan kepada murid bahawa kita boleh bersuci tanpa menggunakan air. Oleh itu, guru tersebut menerangkan kepada murid mengenai alat-alat yang boleh digunakan untuk bersuci iaitu daun-daun kering, tisu, batu dan air mutlak. Batu yang boleh digunakan untuk bersuci mempunyai struktur atau bentuk bersegi dan tidak berbentuk bulat. Penerangan ini membantu murid faham dengan jelas sesuatu maksud, konsep, fakta, isi pelajaran dan sebagainya dengan ringkas dan padat.
Dalam kemahiran menerang, terdapat empat prinsip utama yang harus ditonjolkan oleh guru. Pertama, gunakan kejelasan. Guru harus menumpukan kepada aspek yang spesifik seperti gunakan contoh, ilustrasi dan media yang relevan dan menarik, fokus semula dengan membuat ringkasan, gunakan bahasa mudah serta sesuai dengan murid, elak kekaburan dan penggunaan ayat tidak relevan. Sebagai contoh, guru menggunakan ilustrasi dengan menunjukkan kad bergambar pelbagai jenis air iaitu air laut, air embun, air sungai, air hujan dan air salji. Penggunaan ilustrasi kad bergambar dapat memberi penerangan yang sangat jelas kepada murid dalam memahami isi pembelajaran tersebut. Melalui contoh-contoh, ilustrasi dan alat bantu mengajar ia akan dapat membantu merangsang pelbagai jenis deria murid serta memudahkan kefahaman dan memperkukuhkannya dalam ingatan mereka. Oleh itu, contoh-contoh ilustrasi atau sumber pengajaran hendaklah ditentukan dan disediakan terlebih dahulu oleh guru sebelum sesi pembelajaran dilaksanakan.
Kedua, gunakan penegasan. Penggunaan variasi intonasi guru semasa di bilik darjah amat penting. Hal ini dapat membezakan guru sedang marah, tegas dan bersikap lembut. Oleh itu, guru harus menunjukkan beza penunjuk atau penyerlah pergerakan dan gerak isyarat. Dalam video tersebut, variasi intonasi yang digunakan oleh guru berjaya menunjukkan murid tekun dan dapat memberikan seratus peratus perhatian terhadap sesi pembelajaran yang sedang dilaksanakan. Penegasan intonasi amat penting dalam satu proses pembelajaran kerana guru dapat memastikan proses pembelajaran berjalan dalam keadaan yang lancar dan kondusif.
Ketiga, urutan atau kesinambungan. Urutan atau kesinambungan ialah menggunakan pendekatan induktif atau deduktif. Melalui prinsip ini, guru juga boleh membantu murid untuk mengingati sesuatu perkara (prompts). Oleh itu, guru harus menggunakan variasi atau kata penghubung dalam penyampaian di samping pelbagaikan kelajuan penyampaian. Keadaan ini dapat mengalakkan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran menjadi kaku dan bosan. Kesannya, murid dapat menumpukan perhatian terhadap aktiviti pengajaran guru semasa di dalam bilik darjah jika penerangan yang diberikan menarik dan bermakna.
Keempat, dapatkan maklum balas. Dalam proses mendapatkan maklum balas, berlakunya interaksi dua hala antara guru dan murid. Guru mesti melibatkan murid dengan melihat reaksi dan tingkah laku murid. Sekiranya murid sterkawal dan menunjukkan perhatian kepada guru, ini menunjukkan murid seronok dan berminat untuk mengikuti sesi pembelajaran. Malah, guru perlu mewujudkan peluang kepada murid untuk menunjukkan kefahaman, minat dan sikap mereka terhadap proses pembelajaran tersebut.
Untuk menggunakan kemahiran menerang dengan berkesan, guru hendaklah memahami dan mematuhi beberapa prinsip iaitug uru hendaklah merancang aktiviti pengajaran dengan memilih cara dan bentuk penerangan yang sesuai.  Masa untuk menggunakan kemahiran menerang hendaklah singkat. Murid mudah bosan jika mereka disuruh duduk diam untuk mendengar penerangan guru dalam tempoh masa yang lama tanpa sebarang aktiviti lain. Untuk mengekalkan minat pelajar terhadap penerangan guru, kemahiran variasi rangsangan hendaklah digunakan, terutama bagi penerangan yang memerlukan masa yang melebihi satu minit. Oleh itu, dalam video ini guru tersebut menerangkan sambil menggalakkan murid menulis isi penting di papan putih di hadapan kelas. Selepas aktiviti perancangan, guru hendaklah menggalakkan murid untuk bertanya kepada guru mengenai perkara yang kurang difahami oleh mereka sepanjang proses pembelajaran dilaksanakan.
Impak penggunaan kemahiran menerang dalam proses pengajaran dan pembelajaran (pnp) ialah murid dapat memahami konsep fakta dan bahan pengajaran guru akan menjadi jelas iaitu isi pelajaran dapat difahami dengan lebih cepat, mudah, tepat dan bermakna. Murid juga dapat memahami sesuatu proses atau prosedur secara terperinci dan teratur. Pelajar dapat menaakul sebab musabab berlakunya sesuatu kejadian dengan lebih jelas. Malah murid dapat menumpukan perhatian terhadap aktiviti pengajaran guru jika penerangannya menarik dan bermakna. Ini dapat meneguhkan lagi pengajaran dan pembelajaran yang berlaku dalam bilik darjah. Contoh- contoh ilustrasi dan bahan pelajaran yang digunakan bukan sahaja dapat merangsangkan pelbagai deria pelajar, tetapi juga memudahkan kefahaman konsep dengan tepat serta mengukuhkan apa yang diterangkan dalam ingatan mereka. Penggunaan masa aktiviti pengajaran guru dapat dijimatkan kerana murid dapat memahami dengan cepat dan ini boleh digunakan untuk menambahkan aktiviti pembelajaran yang lain kepada murid.

No comments:

Post a Comment