Wednesday 14 November 2012

Kepentingan-kepentingan Penggunaan Peribahasa dalam Komunikasi Harian Oleh Kalangan Pelajar



Peribahasa begitu penting dalam pengajaran bahasa. Dengan adanya pengajaran dan pembelajaran peribahasa yang menarik dan berkesan, kemahiran berbahasa para murid akan dapat dipertingkatkan. Ini bukan sahaja dalam aktiviti penulisan ayat atau karangan, malah murid juga digalakkan untuk menggunakan bahasa kiasan ini dalam aktiviti lisan sama ada lisan formal atau sebaliknya. Lebih penting lagi, pengajaran peribahasa kepada generasi muda juga akan dapat memastikan warisan bangsa tidak terus dilupakan. Mereka juga boleh didedahkan dengan falsafah, pemikiran dan moral bangsa Melayu untuk dijadikan pedoman hidup.
Dalam pengajaran peribahasa, satu cabaran yang kita semua hadapi adalah untuk menggalakkan murid supaya bersikap positif dalam pembelajaran peribahasa khususnya dan Bahasa Melayu amnya. Ramai yang beranggapan bahawa pembelajaran Bahasa Melayu tidak ubah sebagai satu subjek yang harus di atasi dan dicapai gred A1. Kadangkala sebagai guru, kita juga terpaksa menggunakan pendekatan latih tubi yang sememangnya tidak kondusif dalam pengajaran nilai melalui Bahasa Melayu. Yang ditekankan adalah peratusan lulus yang dicapai. Akibatnya, kita kurang menerapkan pengajaran nilai dan budaya dalam pengajaran Bahasa Melayu kita. Dengan itu, kita harus mempertingkatkan kesedaran dan melakukan apa sahaja yang terdaya dalam mempromosikan pengajaran nilai melalui peribahasa dan juga menyampaikan adat tradisi serta budaya dalam pengajaran Bahasa Melayu kita. Mudah-mudahan dengan itu, murid-murid kita tidak sahaja akan mencapai gred yang cemerlang tetapi akan juga memiliki rasa cinta dan bangga terhadap bahasa, budaya dan adat bangsa mereka sendiri. Secara langsung, hasrat negara menerusi Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek dan keperibadian akan mampu direalisasikan pada masa hadapan

4 comments:

  1. Tahniah, cikgu dah ada blog sendiri...

    ReplyDelete
  2. Mohon mencedok teks cikgu untuk digunakan dalam ujian lisan. Terima kasih.

    ReplyDelete
  3. minta izin mencedok idea cikgu untuk tugasan saya

    ReplyDelete
  4. mohon CP . Terima kaseh daun keladi.

    ReplyDelete